Agama Islam , agama pegangan kita turun temurun adalah merupakan agama rahmat untuk seluruh alam , yang menganjurkan supaya saling menghormati di antara manusia , bukannya permusuhan atau penyisihan diri .

Kita perlu menterjemahkan rahmat ini ke dalam dasar-dasar kerjasama serantau dan antarabangsa , seperti jika kita melaksanakan program-program keagamaan dalam negeri , ianya adalah bertujuan menyebarkan rahmat itu kepada semua , iaitu rahmat berupa kebahagiaan dunia dan akhirat .

Salah satu di antara beberapa program terpenting ialah program persekolahan dan pendidikan agama pada keseluruhannya .

Kerajaan beta telah memperkenalkan sistem persekolahan agama semenjak hampir setengah abad yang lalu . Menerusinya , rakyat negara ini telah dapat mempelajari ilmu-ilmu agama , khasnya ibadat dan al-Quran . Beberapa tahun sesudah ia dimulakan , pelajaran dewasa agama pula dilaksanakan .

Semenjak daripada itu , persekolahan agama telah mencorakkan hidup kita selaku orang-orang Islam . Daripadanya terpancar sinar agama menyinari kehidupan ini .

Beta juga yakin , peranan persekolahan dan pendidikan agama bukan setakat untuk memperelokkan keadaan , malahan juga mesti meningkat kepada membangun atau membina tamadun dan kehidupan . Tanpa peranan seumpama ini , tamadun dan kehidupan boleh sahaja ibarat kapal tanpa muatan , tidak ada apa-apa yang boleh diambil manfaat daripadanya .

Kerana itu beta inginlah melihat peranan ‘besar’ itu dilaksanakan secara berkesan . Dan untuk ini , penyusunan semula atau pengemaskinian semua yang berkaitan dengan persekolahan dan pendidikan agama hendaklah dibuat , termasuk juga menyemak sukatan dan kurikulumnya .

Objektif kita ialah supaya rakyat mendapat pendidikan agama yang sempurna . Jangan siapa mengelak atau berkecuali . Kerana ia adalah ‘jalan selamat’ yang telah disediakan oleh negara . Maka kerana itu . tidak siapa pun yang patut menolaknya .

Setiap kanak-kanak Brunei Muslim adalah wajib diasuh menyempurnakan fardhu ain mereka . Sekurang-kirangnya sembahyang mereka smepurna dan bacaan al-Quran lancar . Kerana itu , kesesuaian sukatan dan kurikulum perlulah diteliti .

Rumusan semua objektif di dalam pendidikan ialah melahirkan rakyat yang kuat beragama , di mana mereka akan menjadi pelita ummah yang mempunyai fahaman dan pegangan yang betul .

Oleh itu beta turut berharap , yang mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam atau Islamic Religious Knowledge (IRK) dalam persekolahan umum mestilah juga turut dikemaskan .

Kita perlu ingat bahawa anak-anak kita adalah menghadapi masa depan yang tidak sama lagi dengan apa yang kita alami . Cabaran yang mereka akan hadapi setelah dewasa , mengkehendaki mereka berilmu dan berkemahiran . Malah belum mencukupi setakat itu , mereka juga diperlukan beriman untuk membolehkannya menjadi orang salih . Ciri-ciri salih ini tidak dapat diabaikan , memandangkan dunia hari ini lebih menjurus kepada kebejatan moral .

( Demikian antara titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut Tahun Baru Hijrah 1427 pada 1 Muharam 1427 / 30 Januari 2006 )