Kamus Dewan (2000) mendefinisikan ’budaya’ sebagai tamadun , peradaban , kemajuan fikiran , akal budi , cara berfikir atau cara berkelakuan .

Wikipedia Indonesia pula menyatakan bahawa perkataan ’budaya’ sebenarnya berasal dari bahasa Sanskrit yang bermakna hal-hal yang berkaitan dengan budi dan akal manusia , atau sebuah sistem pengetahuan yang meliputi sistem idea manusia yang mana idea tersebut diamalkannya sehari-hari .

Perkataan  ’ilmu’ pula memiliki definisi yang sangat luas dan susah untuk didefinisikan . Syed Muhammad Naquib al-Attas berpendapat bahawa ilmu itu sendiri sebenarnya tidak bersifat neutral , budaya yang berbeza memiliki konsep yang juga berbeza mengenai ilmu walaupun ada persamaan mengenainya . Terdapat perbezaan yang ketara dan tidak seiring mengenai konsep ilmu di antara budaya Islam dan juga Barat . (Wan Mohd. Nor, 1998)

Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya ’Ulum al-Din mendefinisikankan ’ilmu’ itu kepada daya membuat generalisasi , konsepsi terhadap idea-idea yang abstrak dan keupayaan memperoleh kebenaran intelektual . (Hamid Fahmy Zarkasyi , 1990)

Maka ’budaya ilmu’ yakni apabila kedua-dua konsep budaya dan ilmu digabungkan boleh diertikan sebagai segala aktiviti keilmuan yang dilaksanakan oleh setiap anggota masyarakat dan diterima sebagai nilaitara utama dalam amalan mereka . (Mok Soon Sang , 2000)

 

 

 

PEMBANGUNAN TAMADUN MANUSIA BERTERASKAN  BUDAYA ILMU

Sejarah telah mengajar kita melalui berbagai peristiwa penting yang sekaligus membuktikan bahawa golongan manusia yang tamadunnya tinggi adalah bersendikan kepada budaya intelektual yang tinggi dalam zaman mereka .

Golongan manusia yang hanya mempunyai kekuatan bersifat fizikal seperti tenaga manusia atau kekuatan ketenteraan sebenarnya bukanlah menonjolkan sebuah kekuatan hakiki tetapi berpandukan dari sejarah tamadun manusia , seringkali kita saksikan bahwa sesebuah bangsa yang kuat tetapi tidak diasaskan oleh budaya ilmu yang baik , akan memeluk dan menganut nilai dan ciri tamadun lain yang ditaklukinya itu  (Wan Mohd. Nor,1997)

Antara contoh bersejarah yang dapat diambil ialah seperti golongan Mongol yang telah menyerang Baghdad , menjatuhkan Dinasti Abbasiyah dan seterusnya merosakkan sumber-sumber keilmuan dan tamadun Islam yang sekaligus paling menyedihkan dalam sejarah (Mahayudin Hj Yahaya dan Ahmad Jelani Halimi,1996) kemudiannya telah memeluk Islam dan melahirkan generasi Islam baharu di Turki , China dan Rusia pada hari ini (Wan Mohd. Nor,1997)

Kejayaan intelektual dan peradaban tinggi yang dicapai oleh kaum-kaum Yunani , Yahudi , China , India dan umat Islam di zaman silam serta betapa canggihnya pencapaian sains dan teknologi negara-negara Barat pada hari ini juga adalah bukti nyata di mana sesebuah golongan manusia itu jika ilmu dan budaya ke arahnya dimartabatkan di kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat mereka .

Zaman Yunani kuno telah melahirkan ramai ilmuan terkenal seperti Socrates , Plato dan juga Aristotle yang banyak mempelopori ilmu falsafah , logik serta geometri . Albert Einstein , Karl Marx dan Sigmund Freud dilihat sebagai diantara tokoh intelektual berketurunan Yahudi yang berpengaruh besar di dalam pelbagai bidang keilmuan moden . Mazhab Konfuciunisme Baru yang mewarnai tamadun China klasik di mana kecenderungan amali telah memberi sumbangan besar kepada manusia sejagat melalui penghasilan kertas , sutera , percetakan , kompas serta ubat meriam . Budaya India Kuno pula yang lebih memberikan penekanan kepada ilmu yang paling abstrak telah memberikan sumbangan bernilai terhadap bidang astronomi , geometri serta perubatan . Fenomena budaya ilmu itu mula berubah apabila agama Kristian yang menguasai negara-negara Barat pada Zaman Pertengahan telah menyebabkan ilmu itu sendiri telah diilhami oleh semangat sekular sekaligus mempengaruhi setiap aspek kehidupan dan pemikiran manusia moden hari ini . (Wan Mohd. Nor, 1997)

 

 

BUDAYA ILMU DI DALAM AGAMA ISLAM

Dr. Hasan Langgulung (1979) berpendapat bahawa dengan turunnya ayat al-Quran yang pertama di Gua Hira kepada baginda Rasulullah s.a.w adalah tanda akan bangkitnya satu peradaban baru di dunia .

Ini kerana apabila manusia itu disuruh membaca (Surah al-’Alaq :1-5) maka proses “membaca” itu sendiri akan melibatkan berbagai proses mental yang tinggi seperti proses pengenalan (cognition) , ingatan atau hafalan (memory) , pengamatan (perception) , pengucapan (verbalizing) , pemikiran (reasoning) serta daya cipta (creativity).

Jika dilihat dari segi psikologi , proses pembacaan itu sendiri akan melibatkan keseluruhan struktur mental manusia itu sebagai kecerdasan seseorang individu (intellegence) . Dari aspek sosial pula proses pembacaan tadi akan menghubungkan perasaan , pemikiran dan tingkahlaku seseorang manusia kepada manusia yang lain . Pembacaan yang terhasil dari simbol yang dapat dibaca iaitu tulisan akan menjadi alat sistem perhubungan yang akan mewujudkan suatu sistem sosial , di samping penggunaan bahasa itu sendiri akan dijadikan sebagai gudang (storage) tempat penyimpanan nilai-nilai budaya yang akan berpindah dari satu generasi ke generasi selanjutnya .

Perubahan sikap individu yang suka membaca atau aktiviti ke arah keilmuan ini akan menular kepada keluarga individu tersebut dan seterusnya akan menular lagi ke dalam masyarakat . (Hasan Langgulung , 1979)

Daripada impak pembacaan , oleh kerana manusia dikurniakan akal maka manusia akan memikirkan apa yang dibacanya .

Adalah jelas di sini bahawa , al-Quranlah punca kepada proses keilmuan . Darinya akan lahirlah budaya keilmuan yang diamalkan oleh individu dan setiap anggota masyarakat dan menyebabkan perubahan tamadun manusia sekaligus punca tercetusnya pembangunan tamadun umat Islam .

Hasan Langgulung melihat terjadinya perkembangan dan tersiarnya kebudayaan Islam ke serata tempat adalah berpunca daripada agama Islam sendiri kerana Islam adalah agama yang pertama sekali mengakui bahawa setiap manusia itu berhak malah diperintahkan untuk menuntut ilmu pengetahuan dan mempelajari kemahiran-kemahiran mengikut kecenderungan masing-masing . (Hasan Langgulung , 1979)

Hal ini dimanifestasikan oleh baginda Rasulullah s.a.w apabila baginda mendirikan sebuah masjid yang pertama di dalam Islam iaitu Masjid Quba. Pembinaannya sama seperti pembinaan masjid-masjid lain iaitu bukanlah semata-mata untuk beribadah solat sahaja tetapi juga menjadi tempat pertemuan , perpaduan dan markaz yang strategik di mana umat Islam boleh berjumpa , berbincang dan mempelajari ilmu .(Kamarudin Ahmad dan Azman Md. Zain , 2002)

Di dalam masjid juga baginda akan mengajar dan memberi khutbah dalam bentuk halaqah di mana para sahabat akan duduk mengelilingi baginda untuk mendengar dan bersoal jawab berkaitan dengan urusan agama atau kehidupan seharian .

Berlainan dengan tamadun Kuno seperti China dan India , proses keilmuan hanya terbatas kepada golongan tertentu sahaja seperti golongan aristokrat , golongan lelaki sahaja atau khusus untuk golongan pendeta atau ahli agama (Wan Mohd Nor , 1997)

 

MASYARAKAT YANG BERBUDAYA ILMU

Sesebuah masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu sudah setentunya akan memiliki beberapa ciri-ciri tertentu yang membezakan mereka dengan masyarakat yang tiada berkecenderungan terhadap aktiviti keilmuan .

Wan Mohd Nor (1997) antara lain menggariskan ciri-ciri tersebut adalah seperti ;

  1. Penglibatan setiap ahli masyarakat di dalam kegiatan keilmuan
  2. Tindakan manusia baik secara individu mahu pun di peringkat masyarakat , diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahu pun syura .
  3. Ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat .
  4. Individu dan institusi berpengaruh dalam masyarakat akan memberi keutamaan , bantuan , kemudahan , dan pengiktirafan yang tinggi kepada mana-mana pihak yang melibatkan diri di dalam usaha mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan
  5. Dalam diri dan masyarakat , tidak akan mengiktiraf sifat jahil , bebal dan anti ilmu .
  6. Dalam diri dan masyarakat yang berbudaya ilmu , akan menolak dan membenci pandangan , pernyataan , serta amalan yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran .
  7. Budaya ilmu bukan sekadar kesungguhan memahami , mendalami dan menghayati sesuatu bidang ilmu tetapi lebih penting juga mampu menjelmakan sifat keilmuan dalam pelbagai bidang (multi-disciplinary) dan merentas bidang (inter-disciplinary) agar pemaduan ilmu dapat mewujudkan kepaduan diri dan masyarakat 

 

Justeru itu , Wan Mohd. Nor (1997) selanjutnya menambah bahawa masyarakat yang berbudaya ilmu seharusnya memiliki beberapa nilai tertentu , iaitu ;

1.      Kepentingan Ilmu

Masyarakat yang berbudaya ilmu akan menjadikan ilmu sebagai asas segala kebaikan. Ilmu yang dipelajari bukanlah tiket untuk mendapatkan kemewahan material , melahirkan pekerja yang cekap atau peluang untuk pekerjaan lumayan tetapi lebih kepada penanaman sikap untuk memuliakan ilmu dengan cara menuntutnya dan seterusnya menghayatinya seumur hidup .

Pendidikan menurut Ibnu Khaldun , dapat membantu individu dan masyarakat menuju kemajuan dan kecemerlangan . (Dr. Gamal Abdul Nasir Zakaria , 2003)

2.      Hasil Ilmiah Yang Berkekalan

Berkekalan di sini bermaksud bahawa sebarang usaha dan hasil yang berteraskan ilmiah itu seharusnya merupakan sumbangan dan amal kebajikan penting bagi diri sendiri dan juga manusia , dan sumbangan tersebut akan diberi ganjaran yang bersifat kekal .

Bagi ilmuan non-Muslim , mereka pasti mendapat kemasyhuran nama sepanjang zaman manakala bagi ilmuan Muslim pula percaya kepada ganjaran pahala amal jariah  di akhirat .

3.      Usaha Keilmuan Yang Berkekalan

Di dalam masyarakat yang berbudaya ilmu , anggota masyarakatnya perlu maklum bahawa pendidikan itu adalah proses pembelajaran sepanjang hayat yakni dari buaian hingga ke liang lahad .

4.      Hormat-Kritis Terhadap Ilmu

Masyarakat berbudaya ilmu juga mesti berani mencari kebenaran dan memperbaiki hasil pemikiran tokoh ilmuan terdahulu . Perkara ini dapat disaksikan melalui rentetan sejarah dimana Imam Syafi’i serta Imam Abu Hanifah pernah berguru dengan Imam Malik . Contoh lain pula Imam al-Ghazali mengkritik kekeliruan ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan unsur dan pemikir Yunani tetapi tetap mengakui sumbangan dan keagungan para pemikir Yunani tersebut .

5.      Kesinambungan Tradisi Keilmuan

Peka dan sedar betapa pentingnya kesinambungan atau sejarah ilmu  atau keilmuan juga sebuah nilai yang amat mustahak dimana ilmu itu sendiri tidak terbatas kadarnya serta manusia itu sendiri tidak akan dapat memikirkannya bermula dari titik kosong . Khazanah keilmuan generasi terdahulu dan juga semasa seharusnya diketahui dan seterusnya direkodkan .

6.      Kepimpinan

Masyarakat yang mahu memilih barisan para pemimpin mereka setentunya terlebih dahulu mesti memahami dan menghayati budaya ilmu itu sendiri sebelum menilai , memilih dan mengukuhkan pemimpin yang berilmu , adil , bijaksana , berwawasan jauh dan tegas . Ini juga bermakna , mana-mana individu atau kumpulan pemimpin yang mahu memimpin masyarakat , semestinya melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu dasar dan kepakaran yang sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa bersesuaian dengan keperluan zamannya .

7.      Bermusyawarah

Seseorang individu setentunya tidak akan dapat mengetahui semua perkara yang diperlukan untuk hidup secara sendirian apatah lagi sebagai sebuah masyarakat kerana ilmu bersifat tidak terbatas . Solusinya ialah dengan cara bermusyawarah. Ini kerana di samping proses itu sendiri merupakan suatu jelmaan ciri budaya ilmu , syura juga merupakan amalan Rasulullah saw dimana baginda sendiri seringkali bermusyawarah dengan para sahabatnya yang berwibawa dalam hal yang berkaitan dengan maslahat orang ramai serta seringkali juga menerima pandangan mereka  .

8.      Pengiktirafan Peranan Wanita

Wanita memang berperanan besar di dalam menentukan dan membina budaya ilmu dan ketinggian tamadun manusia . Zaman pramoden menyaksikan kaum wanita secara tidak rasmi telah berpengaruh besar di dalam peringkat rumahtangga khususnya mengenai urusan penerusan adat resam , penjagaan keluarga dan kemahiran hidup berkeluarga .

Ahli sejarah melihat pengabaian pendidikan kaum wanita seperti di dalam tamadun Yunani Kuno dilihat sebagai punca kepada kejatuhan tamadun masyarakat Yunani itu sendiri .

Agama Islam pula bersumberkan dari wahyu atau hadis , memerintahkan kepada kaum Muslimin , lelaki dan juga perempuan untuk sama-sama menuntut ilmu pengetahuan dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah SWT di muka bumi ini . Isteri-isteri Rasulullah saw sendiri terutamanya Siti Aisyah adalah sumber rujukan para sahabat khususnya mengenai al-Quran , hadis , fekah selain syair , sejarah Arab , nasab keturunan (silsilah) dan juga perubatan .

Jelas di sini bahawa , kaum wanita memberi kesan kepada sesebuah institusi keluarga. Manakala kekeluargaan pula merupakan paksi kekuatan sesebuah masyarakat .(Hasan Langgulung ,1979)

 

CABARAN BUDAYA ILMU MASA KINI

Terdapat banyak cabaran yang perlu ditangani agar hasrat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudaya ilmu pada zaman sekarang . Diantaranya ialah ;

  1. Salahtanggap masyarakat terhadap ilmu

Masyarakat melayu silam melihat ”ilmu” dan usaha kearahnya itu hanya sebagai memenuhi kepada keperluan peribadatan sahaja . Contohnya mempelajari ilmu astronomi hanya untuk memastikan waktu-waktu solat atau ketibaan bulan-bulan penting sahaja . Ilmu matematik hanya khusus untuk mengira fidyah , zakat atau pembahagian harta pusaka (Wan Mohd. Nor Wan Daud,1997).

Masyarakat pada hari pula melihat aspek pendidikan sebagai syarat untuk lulus peperiksaan sekaligus sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang lumayan , kurikulum yang tersedia juga kurang memberi peluang untuk para pelajar untuk berfikir secara aktif , ilmu itu juga telah disempitkan melalui pengkhususan dan pengelasan , ilmu tidak dapat kaitkan dengan iman dan amal serta terpinggirnya kesan ilmu terhadap aspek akhlak . (Dr. Tajul Ariffin Nordin dan Dr. Nor’Aini Dan,2002) Oleh itu , set minda masyarakat yang sempit yang berkemungkinan diakibatkan oleh pelbagai aspek seperti pengaruh sekularisme atau dualisme yang diperkenalkan oleh pentadbiran kolonial silam misalnya perlulah diubah melalui pendidikan Islam agar konsep ilmu yang luas dapat memberi impak yang sempurna kepada masyarakat .

  1. Pengaruh berlebihan budaya korporat dan penswastaan terhadap ilmu dan sistem pendidikan. (Dr. Tajul Ariffin Nordin dan Dr. Nor’Aini Dan,2002)

Apabila manusia hanya asyik memikirkan keuntungan material sahaja dengan cara memperniagakan kegiatan intelektual secara komersial secara tidak langsung akan menyebabkan terpinggirnya budaya ilmu itu sendiri kerana ia sudah tidak lagi diasaskan oleh konsep ibadah dan keikhlasan

  1. Tiada wujudnya kesinambungan usaha intelektual di alam karier .(Prof. Dr. Azyumardi,1999) . Usaha membuat kajian dan penyelidikan (research and development) di dalam sektor kerajaan serta swasta sebenarnya memberikan impak besar terhadap kemajuan negara . Tanpa adanya dapatan daripada penyelidikan dan kajian yang berterusan , produktiviti yang dikecapi hanyalah bersifat minima sahaja .
  2. Institusi informal dan non-formal dalam masyarakat yang pincang .

Perkara ini dapat dilihat melalui kurangnya peranan ibu bapa yakni kekeluargaan di dalam budaya ilmu (M.Wasiullah Khan,1989)

Realiti zaman sekarang menyaksikan para ibu bapa kurang berperanan sebagai ejen sosialisasi dan role model penting kepada keluarga mereka . Hal ini sama sekali berbeza dengan masyarakat zaman silam yang tidak begitu terdedah dengan pengaruh negatif dari budaya luar kerana utuhnya sistem kekeluargaan yang rapat walaupun para ibu bapa selalunya tiada berpendidikan tinggi .

  1. Kurangnya imbalan atau insentif pihak kerajaan kepada para ilmuan dan kegiatan intelektual .

Ibn Khaldun di dalam kitab Muqaddimahnya ada menceritakan tentang kepesatan dan kemajuan ilmiah yang dicapai oleh wilayah Islam semasa pemerintahan amir-amir Turki dimana sekolah-sekolah (zawiyah) dan wakaf-wakaf banyak didirikan sebagai industri pelaburan di mana keuntungan yang diperolehi akan digunakan sebagai upah dan insentif serta motivasi bagi para pendidik dan pelajar .

  1. Kurangnya usaha mempublisitikan ilmu , tokoh keilmuan dan karya intelektual kepada masyarakat (Wan Mohd. Nor Wan Daud,1997) yang disebabkan oleh pendedahan berlebihan terhadap dunia hiburan dan sukan melalui media massa serta gadget elektronik .

 

 

  1. Khazanah karya intelektual yang dilupakan .

Usaha mengkaji dan menyelidik karya-karya intelektual tokoh-tokoh keilmuan zaman silam perlulah dijalankan , diperkembangkan dan didedahkan kepada pelbagai lapisan masyarakat dari masa ke semasa agar segala pengajaran , nilai tujuan , kandungan dan kejayaan atau kegagalan para tokoh ilmuan tersebut dapat dimanfaatkan secara hormat-kritis (Wan Mohd. Nor Wan Daud,1997)  .

Berbalik kepada tema , konsep dan budaya ilmu ; apakah yang akan terjadi sekiranya masyarakat kita tidak berbudaya ilmu? Masyarakat yang tidak berbudaya ilmu pastinya akan berbudaya jahil atau bebal , bukan kerana ketiadaan maklumat atau fakta yang betul tetapi kerana rendahnya sifat rohaniah dan degil walaupun mempunyai maklumat yang betul dan cukup . (Wan Mohd. Nor Wan Daud,1997).

 

KESIMPULAN

Untuk memupuk kesedaran berbudaya ilmu di dalam masyarakat bukanlah satu impian yang terlalu ideal atau mustahil untuk dicapai . Ini kerana melalui pengalaman sejarah silam , generasi manusia terdahulu seperti masyarakat Yunani , China , India dan Islam sendiri pernah mencapainya di dalam pelbagai bidang keilmuan. Kecanggihan sains dan teknologi yang didominasi oleh negara-negara Barat dan negara Jepun moden sekarang ini adalah manifestasi dari budaya ilmu yang disemai di dalam masyarakat mereka .

Ibn Khaldun sendiri ada menyatakan bahawa ilmu pengetahuan dan pengajaran (ta’lim) merupakan hal semulajadi di dalam peradaban manusia . Jadi , tidak hairanlah bilamana tokoh itu tersebut pernah menyatakan bahawa sejarah jatuh bangun sesuatu bangsa berkaitan dengan budaya ilmu yang dihayatinya

RUJUKAN

Al-Quran al-Karim

 

al-Ghazali , al-Imam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad 1987 . Ihya’ Ulum al-Din : Jilid 1 . Mesir , Kaherah : Dar al-Diyan Li at-Turath

 

________ , Imam 1980 . Jiwa Agama (Ihya Ulumiddin) : Jelid Satu . Indonesia : Percetakan Menara Kudus

 

Azyumardi , M.A., Prof. Dr. 1990. Pendidikan Islam : Tradisi dan Modernisasi Menuju Milennium Baru . Indonesia : PT  Logos Wacana Ilmu

 

______________________1999 . Esei-Esei Intelektual Muslim & Pendidikan Islam . Indonesia : PT  Logos Wacana Ilmu

 

Gamal Abdul Nasir Zakaria , Dr. 2003 . Prinsip-Prinsip Pendidikan Islam . Malaysia , Pahang Darul Makmur : PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

 

Hamid Fahmy Zarkasyi 1990. Pemikiran al-Ghazali Tentang Pendidikan . Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Hasan Langgulung , Dr. 1979 . Pendidikan Islam . Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka Antara

 

Ibn Khaldun , Abdurahman . t.t. Muqadimah Ibn Khaldun . Dar al-Fikr

 

__________ 1993 . Mukadimah Ibn Khaldun (terjemahan). Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Kamarudin Ahmad & Ahmad Md Zain  .2002 . “Hijrah Dalam Pembentukan Negara Islam” dalam Wan Ab. Rahman Khudzri Wan Abdullah , Munif Zariruddin Fikri Nordin dan Solahuddin Islam (et al.) Tamadun Islam Suatu Sorotan .  Malaysia , Pahang Darul Makmur : PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

 

Kamus Dewan : Edisi Ketiga . 2000. Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

 

M.Wasiullah Khan 1989. Pendidikan dan Masyarakat Dalam Islam . Mohamad Nordin Zainuddin(penterjemah) . Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Mahayudin Hj Yahaya dan Ahmad Jelani Halimi 1992 . Sejarah Islam . Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

 

Mok Soon Sang 2000 . Ilmu Pendidikan Untuk KPLI . Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Tajul Ariffin Noordin dan Dr. Nor’ Aini Dan , Dr.  2002 . Pendidikan & Pembangunan Manusia : Pendekatan Bersepadu . Selangor Darul Ehsan , Bandar baru Bangi : As-Syabab Media .

 

Wan Mohd. Nor Wan Daud 1997 . Penjelasan Budaya Ilmu . Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

 

______________________ 1998 .  The Educational Philosophy and Practise of Syed Muhammad Naquib al-Attas : An Exposition of the Original Concept of Islamizaton . Kuala Lumpur : International Institute Of Islamic Thought and Civilization

 

http://id.wikipedia.org/wiki/Budaya . Diakses pada 05 hb Feb 2008

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           

 

 

 

 

 

About these ads